PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa warga Perancis agar mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi pilihan pelancongan baharu.
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Paris merancang untuk membantu mempromosi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 dengan mengadakan sesi libat urus strategik bersama ejen-ejen pelancongan di Perancis
Katanya, usaha ini akan dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia yang sedang mempergiat usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran pelbagai acara berprestij di seluruh Perancis.
“Tuanku Raja Muda mempelawa warga Perancis supaya mempertimbangkan Perlis sebagai destinasi pilihan baharu kerana ia menawarkan sisi Malaysia yang berbeza, jauh daripada hiruk-pikuk pelancongan massa. Bagi mereka yang menghargai ketenangan dan keaslian alam, negeri ini menyediakan landskap desa yang mempesonakan serta aktiviti luar yang mendamaikan.
“Kedutaan Besar Malaysia juga kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkuasa tempatan serta pempengaruh media Perancis dalam menjayakan inisiatif diplomasi makanan. Keunikan Kurma Daging Perlis akan turut diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maklumat tersebut disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim kepada Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Paris, semalam.
Turut hadir anakanda-anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, selain Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi, dan Setiausaha Kedua, Aida Anum Aminuddin.
Inisiatif promosi ini dianjurkan secara kerjasama antara Kedutaan Besar Malaysia di Paris, YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), serta disokong oleh Yayasan Harmoni dan Duwan Easy Eat, bertujuan memperkenalkan identiti rasa dan keistimewaan makanan tradisional Perlis kepada masyarakat antarabangsa. –utusan










