Perak teliti bantuan untuk mangsa ribut - Utusan Malaysia

Perak teliti bantuan untuk mangsa ribut

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan cek cura pada Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak Tahun 2026 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan meneliti cadangan pemberian bantuan kepada mangsa ribut yang berlaku semalam di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), khususnya di Bukit Gantang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Pegawai Daerah LMS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah telah turun padang untuk membuat bancian mengenai kerosakan dan jumlah premis yang terlibat.

Katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa, terutama mereka yang berpuasa supaya ada tempat tinggal dan kemudahan untuk berbuka puasa.

“Seperti biasa kita akan minta pegawai daerah untuk turun padang bagi membuat bancian terlebih dahulu dan bantuan yang dicadangkan kepada kerajaan negeri.

“Kita akan melihat cadangan pihak berkenaan tentang sumbangan atau apa-apa keperluan kewangan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak Tahun 2026 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyaluran bantuan akan mengambil masa kerana penilaian kerosakan perlu dilakukan terlebih dahulu, selain menentukan kaedah penyaluran yang sesuai.

Jelasnya, selain bantuan daripada kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya.

“Selain kerajaan negeri, kita ada NADMA. Bagaimanapun, bantuan ini akan mengambil masa kerana yang pertama kena ada penilaian kepada kerosakan dan kedua tentang kaedah pelaksanaan.

“Ini kerana ia melibatkan peruntukan kewangan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, tapi biasa kita akan bantulah mangsa yang terjejas,” katanya.

Menerusi laporan media, dianggarkan lebih 100 rumah di 10 kawasan di Taiping terjejas akibat ribut yang turut  menyebabkan kejadian pokok tumbang.

Setakat pukul 8 pagi, tadi, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 40 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya dalam daerah LMS, akibat bencana berkenaan.

Kesemua mereka merupakan mangsa dari Taman Dami, Taman Ria, Taman Kaya, Taman Desa Cemerlang dan Batu 2 ½. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN