Penyeludup lari tinggal 4,700 karton rokok di tebing Sungai Golok

Penyeludup lari tinggal 4,700 karton rokok di tebing Sungai Golok

ERWAN Shah Soahdi (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 940,000 batang rokok putih seludup bernilai RM640,000 selepas barangan tersebut ditinggalkan sindiket penyeludupan di tebing Sungai Golok dekat Tumpat, Sabtu lalu.

Penyeludup meninggalkan rokok itu selepas kegiatan mereka dikesan Maritim Malaysia Kelantan pada pukul 1.30 pagi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, semasa melakukan rondaan rutin, anggota penguat kuasa mengesan pergerakan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, tidak lama kemudian, sebuah lagi bot pancung didapati memasuki kawasan tersebut dan berhenti di tebing Sungai Golok.

“Kira-kira 30 minit kemudian, bot pancung itu didapati bergerak laju dari arah tebing sungai berhampiran Galeri Tengku Anis menuju ke Tak Bai, Thailand selepas menyedari kehadiran anggota kami.

“Bot Maritim Malaysia mengejar bot tersebut, namun mereka lolos dan masuk ke perairan Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

Erwan Shah berkata, anggota Mariyim Malaysia kemudian membuat rondaan di kawasan tebing Sungai Golok kira-kira pukul 2.13 pagi sebelum menjumpai 98 kotak mengandungi 4,700 karton atau 940,000 batang rokok.

Katanya, sebahagian kotak rokok ditemukan dalam keadaan bertaburan termasuk sebahagiannya terapung di permukaan sungai.

“Tiada individu ditahan di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai melarikan diri sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Semua rampasan rokok disita mengikut Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN