Penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen diberi tumpuan utama - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak berlesen diberi tumpuan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan utama kepada penguatkuasaan terhadap aktiviti pelancongan tidak berlesen yang dikenal pasti menjejaskan ekosistem industri, merugikan pemain sah serta memberi kesan kepada hasil negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, industri pelancongan tidak boleh terus bergerak dalam keadaan kabur dan dibebani ketidakseimbangan peraturan serta penguatkuasaan yang tidak adil.

Katanya, isu aktiviti tidak berlesen termasuk penginapan jangka pendek, pengendali pelancongan haram serta amalan tidak patuh peraturan antara perkara paling kerap dibangkitkan oleh pemain industri dalam sesi libat urus bersama kementerian.

Katanya, sesi libat urus berkenaan yang turut mendapat perhatian dan pelbagai reaksi di media sosial menjadi platform penting untuk kementerian mendengar secara langsung realiti sebenar cabaran yang dihadapi penggiat industri di lapangan.

“Penguatkuasaan mesti memberi tumpuan kepada aktiviti tidak berlesen dan amalan yang menjejaskan industri, bukan menghukum pemain sah yang telah mematuhi undang-undang dan menanggung pelbagai kos pematuhan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan secara lebih adil dan seimbang, seiring usaha mempercepatkan pindaan akta serta penambahbaikan dasar bagi memastikan landskap pelancongan negara lebih tersusun dan mampan.

Dalam pada itu, Tiong menegaskan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh pemain industri juga akan diambil serius dan ditangani secara berperingkat melalui libat urus berterusan bersama pihak berkaitan.

Antaranya termasuk keperluan dasar pelancongan yang lebih jelas, usaha mengimbangi pasaran pelancongan agar tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua negara sumber, serta keperluan promosi produk pelancongan baharu yang lebih agresif dan bersasar.

Katanya, isu berkaitan pengangkutan pelancongan, kenderaan persiaran, pemandu dan pemandu pelancong turut dibangkitkan, termasuk kesan penguatkuasaan yang tidak selaras serta persaingan tidak sihat daripada platform digital.

Jelasnya lagi, kebajikan pemain industri yang terjejas akibat ketidakseimbangan tersebut juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan kualiti perkhidmatan kepada pelancong.

Tiong berkata, sektor khusus seperti selam skuba, eko-pelancongan, pelancongan memerhati burung, homestay, pelancongan komuniti dan komuniti budaya turut menekankan keperluan sistem pelesenan, latihan, promosi serta sokongan yang lebih praktikal dan mesra industri.

“Isu beban kos dan peraturan ke atas pengusaha berlesen, keperluan melindungi pemain kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (SME), kaedah kutipan cukai pelancongan, isu sempadan serta kemudahan pintu masuk negara termasuk terminal pelayaran turut dibangkitkan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan tidak bercanggah dengan agenda nasional.

Katanya, kementerian akan terus membuka ruang perbincangan bersama industri, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar memberi impak positif kepada industri dan rakyat.

Mengulas persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Tiong berkata, pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri akan terus diperkasa bagi membina sektor pelancongan yang adil, berdaya tahan dan mampan untuk jangka panjang negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN