PETALING JAYA: Kos pengimbas MyKad bernilai lebih RM10,000 seunit membataskan penglibatan koperasi dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, setakat ini hanya 100 koperasi terlibat sebagai rakan niaga program berkenaan, berbanding lebih 10,000 premis yang dikenal pasti di seluruh negara.
Menurutnya, kos yang tinggi menjadi beban besar kepada koperasi kecil, termasuk Coop Mart di luar bandar yang tidak mempunyai kemampuan kewangan seperti pasar raya besar.
“Setakat hari ini menerusi laporan diterima, hanya ada lebih 100 koperasi yang terlibat dalam menjayakan program SARA kerana kekangan utama mereka ialah kekurangan peralatan disebabkan harga peranti yang agak mahal bagi mereka.
“Perkara itu menyukarkan penyertaan mereka dalam program SARA itu,” katanya dalam sidang akhbar Program Jom@Coop Jelajah Platinum 2026 sempena sambutan Jubli Platinum ke-70 Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di IKMa, hari ini.
Mohamad turut menggesa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan serta Koperasi (KUSKOP) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berbincang bersama Kementerian Kewangan (MoF) untuk mempermudahkan proses penglibatan koperasi menerusi pemberian subsidi.
Katanya, penglibatan koperasi dalam program SARA perlu diperluaskan kerana kebanyakan kawasan luar bandar tidak mempunyai pasar raya besar.
“Pasar raya besar mungkin mampu menampung kos, tetapi bagi koperasi kecil, mustahil untuk mereka memperoleh peralatan bernilai lebih RM10,000 dengan segera.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pasar raya besar sebagai kawasan tumpuan pembelian barangan SARA kerana di kawasan luar bandar, koperasi merupakan nadi ekonomi rakyat.
“Justeru itu, saya menggesa perbincangan segera oleh pihak SKM, KUSKOP serta IKMa bersama MoF untuk dilakukan untuk mempermudah perkara ini, mungkin melalui subsidi,” katanya.
Mohamad berharap lebih banyak koperasi dapat terlibat supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasaran mengikut aspirasi kerajaan.
“Kita mahu ubah ‘mindset’ supaya koperasi dilihat sebagai pemacu ekonomi rakyat, bukan hanya bergantung kepada bantuan kerajaan,” katanya.-UTUSAN










