Penghantar makanan maut kemalangan ketika hantar pesanan - Utusan Malaysia

Penghantar makanan maut kemalangan ketika hantar pesanan

KEADAAN penghantar makanan yang terlibat kemalangan selepas motosikalnya melanggar belakang sebuah kenderaan utiliti sukan di Kilometer 4, Jalan Simpang Lima-Kampung Koh, Sitiawan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 4, Jalan Simpang Lima-Kampung Koh, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Azri Ibrahim, 41, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6 petang.

Katanya, siasatan awal di lokasi mendapati sebuah SUV jenis Subaru Forester yang dipandu lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Sitiawan menghala ke Kampung Koh.

“Ketika kenderaan itu berhenti untuk membelok ke kanan, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd. Shahizan Shaari di talian 05-6899072 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN