PETALING JAYA: Penganjur konsert, Hitman Solutions bersama Rockqueen dan Digital Aid Sdn. Bhd. mengesahkan telah membuat laporan polis susulan insiden gangguan audio di Aras 3 ketika Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, Sabtu lalu.
Langkah itu diambil selepas satu mesyuarat teknikal diadakan melibatkan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), pengurusan Ella, pembekal sistem bunyi (Digital Aid) serta pasukan teknikal.
Hasil siasatan awal mendapati berlaku kejanggalan pada sistem kawalan bunyi stadium.
Menurut kenyataan rasmi penganjur, pemeriksaan mendapati sistem bunyi di bilik SRS yang menempatkan kawalan sistem bunyi Aras 3 di tingkat dua stadium telah berubah kepada tetapan asal atau ‘default’.
“Perubahan tersebut dikesan berlaku secara tiba-tiba dan jauh berbeza daripada tetapan yang telah diselaraskan dengan teliti ketika sesi raptai sebelum konsert bermula,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas kronologi kejadian pada 14 Februari itu, penganjur memaklumkan pasukan teknikal segera bergegas ke bilik kawalan sebaik menerima aduan penonton di Aras 3 berhubung kualiti bunyi yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, masalah berkenaan hanya berjaya diselesaikan sepenuhnya kira-kira pukul 9.50 malam.
Menyedari kekecewaan peminat yang tular di media sosial, pihak penganjur menzahirkan permohonan maaf secara terbuka dan memandang serius isu berkenaan kerana melibatkan reputasi semua pihak yang terlibat.
“Kami kini dalam perbincangan bagi menentukan bentuk imbuhan bersesuaian kepada pemegang tiket kategori Bronze yang terkesan sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, konsert yang menghimpunkan ribuan peminat setia Ratu Rock negara itu meraih pujian dari segi persembahan bertenaga dan produksi pentas. Namun, kualiti audio di bahagian tempat duduk aras tinggi stadium menjadi perbualan hangat netizen yang mendakwa tidak dapat menikmati vokal penyanyi tersebut dengan jelas. -UTUSAN










