KUALA LUMPUR: Isu pelantikan Ketua Pembangkang akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu wajar dibincang serta diputuskan secara bersama dalam mesyuarat rasmi gabungan berkenaan.
“Lebih baik jika perkara (pelantikan ketua pembangkang) ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis PN yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Selain mesyuarat MT PN, satu pertemuan melibatkan presiden parti-parti komponen juga diadakan bagi memuktamadkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan, hari ini.
Mengulas sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar memegang jawatan berkenaan, Faizal berkata, pihaknya terbuka dan menghormati keputusan majoriti ahli MT.
“Secara peribadi, kita amat terbuka kerana kita bekerjasama sebagai parti komponen dan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat majoriti ahli Majlis Tertinggi dan itulah yang akan kita laksanakan, Insya-Allah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Mohd Radzi Jidin dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpotensi dilantik sebagai ketua pembangkang berikutan kedudukan mereka dalam hierarki kepemimpinan parti serta gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang ketetapan dibuat kerana perkara itu difahamkan akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari ini. – UTUSAN










