KOTA TINGGI: Operasi mencari dan menyelamat eorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas terlibat dalam insiden pelanggaran bot pada Ahad lalu, ditangguhkan sementara bermula hari ini.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, penangguhan itu susulan penemuan satu mayat oleh pihak berkuasa Singapura di perairan negara berkenaan yang dipercayai adalah mangsa tersebut.
“Operasi yang dikoordinasi oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ditangguhkan sehingga proses pengecaman mayat oleh pihak waris selesai.
“Keputusan penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan lanjut dan proses pengecaman,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan operasi tersebut selepas menerima laporan kehilangan mangsa, Mustaffa Hussain, 51, selepas bot fiber yang dinaikinya terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah bot lain di perairan Pengerang.
Menurutnya, sehingga semalam, pencarian telah meliputi kawasan melebihi 60 batu nautika persegi dengan pembabitan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang dan bantuan orang awam.
“Operasi akan disambung semula sekiranya proses pengecaman mengesahkan mayat berkenaan bukan mangsa yang dilaporkan hilang,” ujarnya.
Isnin lalu, akhbar melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas, manakala pekerjanya terselamat selepas bot dinaiki mereka disyaki dilanggar bot lain sebelum terbalik dalam kejadian di Perairan Pengerang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita tempatan yang memaklumkan sebuah bot nelayan dinaiki suaminya bersama pekerja terbalik.
Siasatan awal mendapati bot nelayan jenis fiber yang dinaiki seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bersama pekerjanya iaitu lelaki warga asing berusia 32 tahun dilanggar sebuah bot lain sebelum terbalik.
Pekerja lelaki warga asing dijumpai ketika berpaut pada kayu bot dalam keadaan selamat oleh PPM Wilayah Dua Pengerang manakala mangsa warga tidak ditemui. – UTUSAN









