Pendekatan tiga kurikulum jadikan SIRAJ Al-Alusi istimewa

Pendekatan integrasi tiga kurikulum jadikan SIRAJ Al-Alusi istimewa

Murid-murid Tahun Satu Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Al-Alusi, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur kelihatan ceria pada pembukaan penggal pertama persekolahan 2026 baru-baru ini. – UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Integrasi Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (SIRAJ) Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur, terus menjadi pilihan ibu bapa apabila tampil sebagai institusi pendidikan bersepadu yang berfungsi sebagai pusat sehenti, merangkumi akademik, agama serta pembentukan sahsiah murid.

Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa, khususnya yang bekerja sepenuh masa, malah memastikan murid menerima pendidikan seimbang tanpa perlu pindah ke sekolah lain atau mengikuti kelas tambahan di luar.

Sekolah rendah arus perdana kelolaan JAWI itu melaksanakan integrasi tiga kurikulum utama iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Kementerian Pendidikan, Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) JAWI dan Kurikulum Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Al-Alusi menekankan pengembangan sahsiah selain bidang akademik.

 

Guru Besar SIRAJ Al-Alusi, Mohamad Nor Hasan berkata, pendekatan integrasi itu menjadikan sekolah berkenaan berbeza berbanding sekolah rendah agama biasa yang hanya menumpukan satu aliran pembelajaran.
“SIRAJ Al-Alusi bukan sekolah rendah agama biasa kerana kita menggabungkan tiga kurikulum serentak. Murid belajar akademik, agama dan sahsiah dalam satu sesi persekolahan penuh.
“Sebab itu, waktu operasi persekolahannya bermula antara pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dengan pelaksanaan 20 mata pelajaran merangkumi aspek akademik dan keagamaan,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar, baru-baru ini.

Katanya, pengisian harian murid di sekolah turut diperkukuhkan dengan amalan kerohanian termasuk solat sunat duha serta solat Zuhur berjamaah setiap hari.

“Bagi murid Tahun Satu ini, biasanya akan diasingkan dan guru-guru akan bimbing mereka mengenai pelaksanaan cara solat, memantapkan bacaan walaupun sudah dididik sejak tadika,” katanya.

Beliau berkata, sasaran pihak sekolah kini adalah untuk meningkatkan pencapaian akademik dengan mencapai Gred

Purata Sekolah (GPS) pada tahap satu mata atau lebih baik.

“Sekarang kita berada pada gred sekitar 1.5 dan sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 1.1 atau lebih baik dalam masa terdekat.

“Setakat ini, untuk pencapaian kokurikulum juga mencatat kejayaan membanggakan sehingga ke peringkat antarabangsa termasuk menjuarai pertandingan ragbi sentuh di Singapura.

“Jadi, kita akan berusaha tingkatkan pencapaian semua unit, bukan sahaja akademik tapi termasuk juga hal ehwal murid dan kokurikulum,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan kemasukan murid sesi 2026, Noor Hassan berkata, sambutan di

SIRAJ Al-Alusi amat memberangsangkan apabila lebih 300 permohonan diterima bagi Tahun Satu, namun hanya 70 murid ditawarkan tempat.

“Kita hanya menerima dua kelas dengan maksimum 35 murid setiap kelas. Pemilihan dibuat oleh pihak bahagian pelajaran JAWI berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, proses temu duga dan penilaian dilaksanakan bukan untuk menolak murid, sebaliknya bagi memastikan kesesuaian dengan hala tuju pendidikan yang digariskan jabatan.

“Kuasa pemilihan terletak di peringkat jabatan. Kita sebagai sekolah melaksanakan dasar dan amanah yang telah ditetapkan,” katanya.

Seorang bapa murid Tahun Satu, Muhammad Khidhir, 34, daripada Kampung Baru berkata, pendekatan pusat sehenti menjadi faktor utama beliau memilih Siraj Al-Alusi untuk anak sulungnya, Khayyra Khidhir.

Katanya, sebagai ibu bapa yang bekerja sepenuh masa, sistem persekolahan seharian yang ditawarkan sekolah itu amat membantu dalam mengurus jadual harian keluarga.

“Sekolah ini memang one-stop centre. Anak datang pagi, balik petang. Tidak perlu transit, tidak perlu ambil tengah hari. Semua sudah diuruskan oleh pihak sekolah dan ini sangat memudahkan kami sebagai ibu bapa.

“Memang ada rasa gemuruh sebab ini pengalaman pertama, tetapi apabila tahu sekolah ini ada sistem yang tersusun, ada akademik, ada agama dan kebajikan anak dijaga, saya rasa lebih yakinlah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIRAJ Al-Alusi, Muhammad Noor Hafiz Kasim berkata, PIBG memainkan peranan sebagai rakan strategik sekolah dalam menyokong pelaksanaan akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.

Muhammad Noor Hafiz KasimMenurutnya, PIBG SIRAJ Al-Alusi yang kini memasuki tahun keempat penubuhan memberi fokus kepada sokongan menyeluruh selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan dan JAWI.

“PIBG di sini berfungsi untuk menyokong, bukan mencampuri urusan pentadbiran sekolah. Kita bergerak seiring dengan hala tuju sekolah sama ada dari segi akademik, kokurikulum, mahupun pembangunan sahsiah pelajar,” katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif awal PIBG untuk sesi 2026 ialah memperkenalkan elemen mesra murid seperti penggunaan maskot pada hari pertama persekolahan bagi meredakan emosi murid baharu.

“Kami bawakan maskot untuk tarik perhatian dan naikkan semangat pelajar, terutamanya tahun satu, supaya mereka lebih tenang dan gembira pada hari pertama yang masih dalam fasa penyesuaian,” katanya.

Menurutnya, PIBG juga mengambil inisiatif menyediakan kemudahan loker besi di setiap kelas bagi mengurangkan beban beg murid yang mengikuti sehingga 20 mata pelajaran. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN