Pencerobohan zon jejas tangkapan ikan pesisir pantai

Pencerobohan zon jejas tangkapan ikan pesisir pantai

SEBAHAGIAN bot pukat tunda Zon C yang berlabuh di berapa pelabuhan pendaratan ikan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pencerobohan bot-bot bersaiz besar di luar zon penangkapan ikan yang ditetapkan berisiko menjejaskan sumber laut dan kelangsungan hidup nelayan kecil di perairan Kelantan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sebarang aktiviti menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan adalah kesalahan di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen apabila bot nelayan beroperasi di bawah 15 batu nautika tanpa kebenaran.

Katanya, setakat ini, tiada kes pencerobohan zon penangkapan berlaku di perairan Kelantan, namun terdapat kes terpencil melibatkan bot Zon C memasuki kawasan Zon B dan A.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan pesisir pantai kerana bot Zon A bersaiz kecil dan bergantung sepenuhnya kepada hasil di kawasan pantai. 

“Jika bot lebih besar menceroboh, hasil tangkapan nelayan kecil terjejas. Zon tangkapan ikan ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi memastikan keseimbangan ekosistem marin, selain melindungi kepentingan nelayan pantai yang menggunakan bot kecil dan peralatan tradisional,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia di Tok Bali di sini hari ini.

Erwan Shah berkata, pembahagian zon tersebut bagi mengelakkan eksploitasi berlebihan sumber perikanan, melindungi unjang dan tukun ikan daripada rosak akibat pukat tunda.

Katanya, langkah itu bagi menjamin pendapatan nelayan kecil yang bergantung kepada kawasan pantai dan mengawal penggunaan alat tangkapan mengikut kesesuaian zon.

“Penggunaan pukat tunda di zon tidak dibenarkan boleh merosakkan unjang dan  habitat ikan sekali gus memberi kesan jangka panjang kepada hasil laut.

“Maritim Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap bot nelayan yang melanggar peraturan zon termasuk pendakwaan di bawah Akta Perikanan 1985,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini