BUKIT GANTANG: Wakil rakyat parti Bersatu yang dipecat tidak semestinya perlu menyertai mana-mana parti sebaliknya wajar mempertimbangkan untuk kekal sebagai wakil rakyat Bebas demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada khidmat kepada rakyat.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, dalam suasana politik semasa, rakyat semakin muak dengan percaturan kepartian sehingga menjejaskan fokus terhadap perkhidmatan di kawasan.
“Pada pandangan saya, Bebas dan tidak berparti lagi bagus. Sekarang orang sudah muak dengan parti. Bila ada parti, ada permintaan dan cabaran tertentu.
“Jadi biarlah kita buat kaedah tanpa parti,” katanya kepada pemberita pada perasmian Skim Usahawan Bangkit Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Menurut beliau, apabila seseorang dipilih sebagai wakil di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tanggungjawab utama ialah membela kebajikan rakyat, bukannya terlalu terikat dengan kehendak atau percaturan dalaman parti.
Katanya, dalam sistem kepartian, kuasa presiden untuk memecat ahli adalah perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi isu berpanjangan sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kalau presiden tak bagus pun, dia tetap presiden. Dia boleh pecat orang. Itu biasa dalam parti. Tapi rakyat yang pilih kita, jadi tanggungjawab kita kepada rakyat lebih utama,” katanya.
Mengulas hala tuju wakil rakyat Bersatu yang dipecat, beliau menasihatkan supaya mereka tidak kecewa atau bertindak secara emosional, sebaliknya bangkit meneruskan khidmat di kawasan masing-masing.
“Politik ini soal perkhidmatan. Saya akan bantu orang di kawasan saya walaupun bersendirian, yang penting rakyat dapat manfaat.
“Sokong Perdana Menteri kalau itu boleh bantu rakyat. Menteri beri peruntukan untuk bangunkan kawasan, itu yang rakyat mahu. Jangan sampai rakyat terhimpit kerana kita terlalu berpolitik.
“Jika Datuk Seri Hamzah Zainuddin beri khidmat kepada kawasannya dan perlukan pertolongan saya, saya akan bantu,” katanya.
Mengulas kemungkinan kembali menyertai parti tertentu termasuk UMNO, beliau berkata keputusan tersebut perlu dinilai secara teliti dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
“Saya akan tengok keadaan dahulu, tak boleh buat keputusan macam itu sahaja. Saya bukan ikut orang, saya ikut apa yang terbaik untuk rakyat,” jelasnya.
Tegasnya, kekuatan sebenar seseorang wakil rakyat terletak pada sokongan akar umbi, bukannya semata-mata pada logo parti.
“Kalau ‘ground’ kita kuat, apa pun tidak jadi masalah. Saya bertanding atas kekuatan sendiri. Saya jaga rakyat saya dan tolong mereka, rakyat mahukan perjuangan, bukan permainan politik,” katanya. – UTUSAN










