KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Didie Alias, menegur tindakan seorang pelawak yang menjadikan fizikal individu atau ‘body shaming’ sebagai bahan jenaka dalam persembahan mereka.
Menurut Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 54, perbuatan tersebut bukan sahaja melampau, malah mencerminkan tahap profesionalisme yang rendah dalam kalangan penggiat seni.
“Bagi saya, lawak sebegitu seolah-olah tidak berpelajaran dan kurang adab.
“Tidak wajar menjadikan ‘body shaming’ sebagai bahan persembahan walaupun mungkin ada yang rasa ‘seram’ melihat wajah seseorang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, selebriti versatil itu mengingatkan pelawak terbabit tentang risiko tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya individu yang terkesan memilih untuk mengambil langkah menyaman.
Ujarnya, dalam era digital yang serba pantas, sesuatu kandungan boleh tular dalam sekelip mata dan memberi implikasi besar terhadap reputasi serta kerjaya seseorang artis.
“Nanti kalau tiba-tiba kena saman, mana hendak cari duit? Persembahan pun bukan selalu ada, itu pun belum tentu orang mahu datang menonton.
“Jadi perkara itu tidak menyeronokkan. Kita ini sesama rakan industri. Kalau berlawak sekalipun, tidak perlulah sampai menyentuh isu sensitif melibatkan kawan-kawan atau orang lain,” ujarnya.
Didie turut memberi peringatan agar setiap pelawak meletakkan diri di tempat individu yang dijadikan bahan jenaka sebelum melontarkan gurauan di khalayak ramai.
“Bayangkan kalau perkara sama dibuat terhadap ahli keluarga sendiri. Sudah tentu kita terasa hati.
“Kita kena jaga hati orang dan faham keadaan mereka. Kalau tiada idea, tidak perlulah buat lawak begitu. Lebih baik cari idea yang lebih bernas dan profesional,” tegasnya. -UTUSAN










