Jepun tingkat pertahanan di pulau berhampiran Taiwan

Jepun tingkat pertahanan di pulau berhampiran Taiwan

GAMBAR fail menunjukkan pemandangan di Pulau Yonaguni, di wilayah Okinawa.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kerajaan Jepun merancang untuk menempatkan sistem peluru berpandu darat ke udara di sebuah pulau terpencil di barat negara itu berhampiran Taiwan menjelang Mac 2031.

Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, dalam sidang media di Tokyo kelmarin berkata, penempatan peluru berpandu di Pulau Yonaguni akan dilakukan pada tahun fiskal 2030, yang berakhir pada Mac tahun kalender berikutnya.

Kementerian itu mengumumkan rancangan tersebut pada 2022 untuk meningkatkan pertahanan udara di pulau itu, yang sudah menempatkan pangkalan tentera Jepun.

Ini merupakan kali pertama Jepun menyatakan tarikh spesifik untuk penempatan tersebut.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika ketegangan antara Jepun dan China berlarutan selama beberapa bulan, dengan Beijing pada Selasa mengumumkan sekatan eksport terhadap puluhan firma Jepun yang didakwa terlibat dalam usaha memperkukuh tentera negara itu.

Koizumi berkata, kementerian itu akan mengadakan taklimat untuk penduduk tempatan minggu depan di pulau berkenaan, yang terletak kira-kira 110 kilometer (km) ke timur Taiwan dan 1,900 km ke barat daya Tokyo.

November lalu, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mencadangkan Tokyo boleh campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku serangan terhadap Taiwan yang memerintah sendiri.

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan untuk merampasnya secara paksa.

Sejak kenyataan Takaichi itu, Beijing menasihati rakyat China agar tidak melancong ke Jepun, yang menjejaskan sektor pelancongan, sebagai antara tonggak ekonomi negara tersebut.

Diplomat tertinggi Beijing, Wang Yi berkata pada Persidangan Keselamatan Munich awal bulan ini, pasukan di Jepun sedang berusaha ‘menghidupkan semula ketenteraan’.

Takaichi memberitahu Parlimen pada Jumaat lalu, China memperhebatkan usaha mengubah status quo dengan kekerasan atau paksaan di Laut China Timur dan Laut China Selatan serta menekankan Jepun perlu memperkukuh keupayaan pertahanannya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×