PETALING JAYA: Kemajuan pelaburan Google bernilai AS$2 bilion (RM7.77 bilion) di Malaysia kini berkembang pesat dan melepasi jangkaan awal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan persidangan video bersama Presiden serta Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, semalam.
Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyokong pelaburan korporat teknologi multinasional itu bagi mengukuhkan ekonomi digital negara.
“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem digital Malaysia dan selaras dengan aspirasi untuk meletakkan negara sebagai hab serantau bagi aliran data selamat, pengkomputeran awan serta inovasi Kecerdasan Buatan (AI).
“Ia merangkumi pembangunan pusat data pertama Google dan infrastruktur perkhidmatan awan yang dijangka menjana impak ekonomi sebanyak AS$3.2 bilion serta mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” katanya melalui hantaran di Facebook semalam.
Projek pusat data tersebut yang terletak di Elmina Business Park, milik Sime Darby Property di Kuala Lumpur, bakal memacu perkhidmatan digital popular seperti Search, Maps dan Workspace, selain memperluas manfaat AI kepada pengguna tempatan.
Sementara itu, wilayah Google Cloud di Malaysia akan memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi dan kependaman rendah (low-latency) kepada perusahaan besar, syarikat pemula serta organisasi sektor awam dengan standard keselamatan dan pematuhan tertinggi.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan serta Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat, pelaburan itu adalah yang terbesar pernah dirancang oleh Google di Malaysia sejak syarikat itu bertapak di sini 13 tahun lalu.
“Google bangga dapat menyokong transformasi digital ekonomi negara yang berterusan, selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Kerjasama ini bertujuan mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi besar transformasi digital di Malaysia menerusi dasar ‘Cloud First’ serta piawaian keselamatan siber terbaik,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Anwar menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia.
Pusat data terbabit akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.
Fasa pembinaan pusat data Google itu dijangka selesai dibangunkan pada suku ketiga tahun ini. – UTUSAN










