TEHERAN: Kementerian Luar Iran menolak dakwaan Presiden Donald Trump berhubung negara itu sedang membangunkan peluru berpandu yang mampu menyerang Amerika Syarikat (AS), dengan menyifatkannya sebagai pembohongan besar.
Sebagai respons terhadap kenyataan Trump, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, presiden AS itu sendiri telah menjadi mangsa berita palsu.
Beliau menyatakan bahawa Iran tidak membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai tanah besar Amerika sambil menambah bahawa angkatan bersenjata Iran telah dengan sengaja mengehadkan jarak peluru berpandu buatan tempatan kepada 2,000 kilometer.
“Ini semata-mata untuk pertahanan kami sendiri. Peluru berpandu kami bersifat defensif. Ia dibina sepenuhnya untuk pencegahan dan untuk membantu kami mempertahankan diri, sama seperti yang berlaku pada Jun tahun lalu,” katanya, merujuk kepada serangan Israel ke atas Iran yang disokong AS.
Diplomat tertinggi itu menyatakan bahawa Iran tidak memulakan perang tahun lalu dengan Israel, sebaliknya Tel Aviv dan Washington yang menyerang negara itu, sehingga mengakibatkan beberapa komander tentera kanan serta saintis nuklear terbunuh.
“Kami hanya mempertahankan diri. Dari perspektif mereka, ia mungkin dianggap sebagai tindakan haram, tetapi dari sudut pandang kami, ia adalah tindakan yang sah dalam kerangka pertahanan diri,” kata Araghchi.
Dalam ucapan tahunan State of the Union, Trump sekali lagi menegaskan Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear dan mendakwa kepimpinan Teheran kini berusaha semula untuk membangunkan senjata tersebut.
Iran berulang kali menafikan sedang berusaha membina senjata nuklear, sebaliknya menyatakan ia mempunyai hak untuk menggunakan teknologi itu untuk tujuan aman.
Presiden AS itu juga mendakwa pihak berkuasa Iran membunuh 32,000 orang ketika gelombang protes yang bermula pada Disember trahun lalu sebelum memuncak pada 8 dan 9 Januari lepas.
Bagaimanapun, pegawai Iran mengaku terdapat lebih 3,000 kematian, namun menyatakan keganasan itu berpunca daripada ‘tindakan pengganas’ yang didakwa didalangi oleh AS dan Israel.
Dakwaan Trump dibuat selepas Washington dan Teheran menamatkan dua pusingan rundingan yang dimediasi Oman bagi mencapai perjanjian berhubung program nuklear, dengan mesyuarat ketiga berlangsung pada Khamis. – AGENSI










