PUTRAJAYA: Pegawai imigresen yang cedera akibat dirempuh warga asing dalam operasi di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi tadi dilaporkan dalam keadaan stabil dan memerlukan masa untuk pulih.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pegawai itu dirempuh pengunjung mabuk yang bertindak agresif dalam kejadian sekitar pukul 3.15 pagi itu.
“Pegawai terbabit juga akan membuat laporan polis berkaitan insiden itu bagi mengambil tindakan selanjutnya. Dia sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang pegawai imigresen patah kaki kiri akibat dirempuh warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, awal pagi tadi.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pihaknya sentiasa memantau pembabitan warga asing yang memandu lori tanpa lesen sah di negara ini.
Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau aktiviti berkenaan. – UTUSAN










