SUNGAI PETANI: Seorang pemuda sanggup memecut keretanya sejauh lebih 10 kilometer (km) dalam keadaan bahaya bagi mengelak ditahan polis hanya disebabkan cukai jalan Proton Saga dipandunya tamat tempoh.
Namun, tindakan lelaki tempatan berusia 22 tahun itu mengundang padah apabila dia akhirnya berjaya ditahan di Jalan Sungai Layar, semalam meskipun telah merempuh kenderaan polis dan sebuah kereta orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek pada mulanya enggan berhenti untuk pemeriksaan ketika diarahkan sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Kuala Ketil.
“Dia sebaliknya memecut kereta hingga ke Tikam Batu sebelum berpatah balik ke Taman Sri Tanjung di Sungai Layar. Ketika melalui taman perumahan itu, suspek melanggar sebuah kereta yang diparkir di garaj.
“Suspek kemudian bertembung dengan sebuah lagi kereta peronda polis yang datang memberi bantuan dan turut melanggar bahagian tepi MPV itu, sebelum berjaya ditahan,” katanya.
Kata Hanyan, sebuah kereta peronda jenis Honda Civic rosak di bahagian kanan termasuk pintu penumpang belakang, sementara Proton Saga milik orang awam rosak di beberapa bahagian belakang dan kereta dipandu suspek pula rosak di bahagian kanan.
“Pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan terlarang atau senjata berbahaya di dalam kereta itu melainkan cukai jalan kereta tersebut yang didaftarkan atas nama abang suspek telah tamat tempoh,” katanya.
Malah, ujian saringan air kencing turut negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN







