PETALING JAYA: PayNet Digital Campus 4.0 (PDC 4.0) mencatatkan 58.7 juta transaksi digital di 44 universiti pada tahun 2025, iaitu lebih dua kali ganda berbanding 24.4 juta transaksi yang direkodkan pada 2024.
Purata transaksi pelajar per kapita turut mencecah 98 transaksi pada 2025, menggambarkan perubahan jelas dalam penerimaan pembayaran digital dalam kalangan generasi baharu Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Praveen Rajan berkata, pencapaian itu menunjukkan pembayaran digital kini telah menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar.
“Dengan membudayakan penggunaan digital lebih awal, kami memperkukuh keterangkuman kewangan selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan oleh Bank Negara Malaysia.
“Ia sekali gus mengukuhkan keyakinan jangka panjang terhadap infrastruktur pembayaran Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Buat pertama kali sejak pelancaran PayNet Digital Campus pada 2022, kesemua 20 universiti awam di Malaysia telah mengambil, termasuk UiTM yang melibatkan 14 cawangan di seluruh negara.
Sebanyak 11 universiti swasta turut serta, menjadikan Digital Campus mencapai liputan nasional paling meluas setakat ini.
Sementara itu, peningkatan transaksi per kapita di kampus menunjukkan penggunaan pembayaran digital secara konsisten dalam kalangan pelajar.
UiTM Cawangan Perlis mendahului kategori universiti awam dengan purata 98 transaksi per kapita sepanjang tempoh kempen Digital Campus dari September hingga Disember 2025.
Bagi kategori universiti swasta, INTI International College Subang mendahului dengan 127 transaksi per kapita.
Sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka semasa PayNet Digital Campus 4.0, UiTM Cawangan Perlis dan INTI International College Subang masing-masing telah menerima RM100,000 sebagai pemenang tempat pertama bagi kategori universiti masing-masing.
Setakat ini, Digital Campus telah melibatkan hampir 600,000 pelajar dan lebih 7,500 peniaga di seluruh negara.
Dengan peningkatan jumlah pelajar menggunakan pembayaran digital untuk urusan harian, perusahaan mikro dan kecil di kawasan sekitar turut meraih manfaat melalui rekod transaksi yang lebih jelas, aliran pendapatan yang lebih stabil serta penglibatan yang lebih kukuh dalam ekonomi digital negara.
Seiring usaha PayNet untuk memperkukuh infrastruktur pembayaran yang selamat, cekap dan inklusif di seluruh negara, Digital Campus kekal sebagai inisiatif utama dalam membentuk generasi masa hadapan Malaysia yang membudayakan pembayaran tanpa tunai. –UTUSAN










