Pas ‘angkat’ hanya satu nama terajui PN

Pas ‘angkat’ hanya satu nama terajui PN

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas bersetuju mengetuai Perikatan Nasional (PN) tetapi nama pemimpin yang dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatan Pengerusi hanya didedahkan dalam mesyuarat gabungan parti politik itu nanti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sudah mempunyai nama dalam kalangan kepemimpinan tertingginya untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan tersebut.

“Kita akan usulkan nama tersebut di dalam mesyuarat PN nanti. Hanya seorang boleh jadi Pengerusi, jadi kita angkat satu nama sahajalah. Tidak boleh angkat dua nama,” katanya selepas Majlis Perasmian Klinik Hayat 24 Jam Cherang, di sini hari ini.

Sementara, Takiyuddin berkata, segala perkara atau isu berkaitan PN akan dibincangkan dalam mesyuarat khas yang belum ditentukan tarikhnya.

“Kita masih mencari tarikh sesuai antara 19 hingga 22 Februari ini dan kita tengoklah apa agendanya nanti termasuk berkaitan pelantikan Pengerusi baharu,” katanya.

Takiyuddin berkata, isu pemecatan 17 pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dijangka tidak mengganggu perjalanan mesyuarat PN.

“Dengan pemecatan sebagai ahli Bersatu, kedudukan pemimpin-pemimpin terbabit dalam barisan kepemimpinan tertinggi PN juga terhenti secara automatik kerana mereka dilantik oleh parti masing-masing. Jadi tidak ada isu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Pas berharap penubuhan Jawatankuasa Khas dapat merungkai semua dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu adalah keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet dan semua pihak perlu memberi ruang kepada mereka untuk menjalankan siasatan.

“Kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas diteraju Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.  Berdasarkan pengalaman saya, ada beberapa terma rujukan perlu dipatuhi jawatankuasa ini setelah ia dibentuk,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) menganggap terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu kerana semua pihak belum dimaklumkan secara jelas apa fungsi Jawatankuasa Khas, bagaimana siasatan dilakukan dan berapa lama tempoh masa diberikan. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN