PETALING JAYA: Semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) perlu menyatukan kekuatan untuk menghadapi pilihan raya umum datang dan mengelakkan perbalahan sesama sendiri.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sekarang bukanlah masa terbaik untuk bertelagah tetapi sekarang adalah masanya untuk
memperkukuhkan jentera sebagai persiapan menggantikan kerajaan yang ada.
“Ini bukan masanya untuk pertikaian dalaman. Sebaliknya PN perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyatukan kekuatan, memperkukuh jentera, menyelaras strategi serta memberi keyakinan kepada rakyat.
“Saya menyambut baik kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam yang menekankan kepentingan perpaduan dalam PN, kerana persefahaman merupakan tunjang utama dalam memperkukuh gabungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dominic Lau, kekuatan sebenar PN adalah pada gabungan keempat-empat parti komponennya yang harus bekerjasama dengan berlandaskan semangat muafakat, saling menghormati dan komitmen bersama.
“Gerakan percaya hanya melalui perpaduan yang kukuh antara semua parti dalam PN, ia mampu tampil sebagai satu alternatif yang berwibawa untuk menggantikan kerajaan Madani dan menawarkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Abdul Hadi menegaskan tidak wujud sebarang usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada PN mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia sekali gus menolak spekulasi kononnya berlaku gerakan tersusun untuk memaksa Presiden Bersatu itu berundur daripada kepimpinan gabungan berkenaan. – UTUSAN










