PARLIMEN: Permohonan kerani berartikel ditangguh, perlu kajian lanjut

PARLIMEN: Permohonan kerani berartikel ditangguh, perlu kajian lanjut

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan untuk menjalani latihan kerani berartikel tidak dapat dilaksanakan serta-merta berikutan keperluan untuk kajian lanjut berdasarkan input diterima daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kerajaan berpendirian bahawa apa-apa fungsi statutori yang diperuntukkan di bawah undang-undang diluluskan Parlimen kepada mana-mana pihak berkuasa awam perlu dilaksanakan seperti biasa selagi tiada pindaan dibuat terhadap undang-undang tersebut.

Katanya, perkara itu merangkumi fungsi statutori LPQB berhubung laluan dan latihan kerani berartikel di bawah Seksyen 5 Akta Profesion Undang-Undang 1976.

“Pada 20 November 2025, LPQB telah mengadakan sesi libat urus dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri diikuti sesi libat urus pada 28 November 2025 bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta sesi berasingan bagi meneliti hala tuju laluan kerani berartikel.

“Pada 15 Disember 2025, LPQB telah bersetuju secara dasar untuk menubuhkan pasukan petugas bagi mengkaji penambahbaikan yang telah dilaksanakan serta meneliti pembangunan kurikulum dan standard program yang bersesuaian.

“Ini bagi memastikan laluan kerani berartikel mencapai standard dan kualiti pendidikan undang-undang yang dikehendaki oleh profesion undang-undang pada masa ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) mengenai bilakah LPQB akan menjalankan fungsinya dalam membuka permohonan untuk menjalani latihan kerani berartikel serta garis masa terperinci.

Menurut Kulasegaran, pasukan petugas itu terdiri daripada pakar-pakar daripada IPTA, IPTS dan wakil-wakil daripada Majlis Peguam.

“Ketika ini, LPQB sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi penubuhan pasukan petugas tersebut dengan mengambil kira terma rujukan atau deliverables serta kos yang terlibat.

“Untuk makluman lanjut, tempoh kajian oleh pasukan petugas ini dicadangkan selama lapan bulan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan LPQB.

“Kertas cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat LPQB yang akan diadakan pada Februari 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN