PARLIMEN: Hasil R&D negara dimanfaatkan kepada rakyat

PARLIMEN: Hasil R&D negara dimanfaatkan kepada rakyat

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara tidak berakhir di peringkat makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, usaha itu ditumpukan kepada komuniti luar bandar menerusi pemerkasaan bidang pertanian pintar pengurusan air serta adaptasi terhadap perubahan iklim.

Katanya, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeoPadi) oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang kini digunakan di 12 jelapang padi utama meliputi kawasan seluas 206,000 hektar.

“Penggunaan imej satelit beresolusi tinggi membolehkan pengesanan kawasan sebenar penanaman padi dilaksanakan secara tepat sekali gus mempercepat dan menjimatkan proses pengagihan subsidi padi kerajaan secara bersasar kepada pesawah yang layak.

“Selain itu, modul profil tanah dalam sistem ini turut membantu agensi pertanian membuat penilaian awal kondisi tanah sawah dan merancang tindakan pembaikan yang bersesuaian,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung strategi kementerian bagi memastikan inovasi negara sampai ke peringkat komuniti luar bandar dan perusahaan kecil.

Lih Kang berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MYSA dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengoptimumkan teknologi penderiaan jauh (remote sensing) untuk mengenal pasti sumber air bawah tanah.

“Inisiatif yang bermula di Lembangan Sungai Muar itu kini memberikan manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk di 11 kampung yang berdepan isu kekurangan bekalan termasuk di Johor dan kelantan.

“Pembangunan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) pula digunakan di kawasan berisiko banjir di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN