KUALA LUMPUR: Pelakon, Roy Azman memaklumkan doktor membuat keputusan untuk menunda pembedahan yang sepatutnya dialajani pelakon itu hari ini.
Menurut Roy, keputusan itu dibuat gara-gara paras gula dalam badan pelakon berkenaan berada pada tahap terlalu tinggi.
“Hari ini Sabtu, tapi pembedahan ditangguhkan sebab kadar gula saya tinggi.
“Jadi tunggu sampai bacaan itu turun, tengoklah keadaan bagaimana sekejap lagi,” katanya.
Roy berkata demikian dalam satu rakaman yang dimuatnaik menerusi media sosial radio SINAR, baru-baru ini.
Dalam perkongsian sama, pemilik nama sebenar Zairosminan Abdul Rahman itu memaklumkan beliau dimasukkan ke hospital dan perlu menjalani pembedahan akibat jangkitan pada bahagian kelangkang.
“Beginilah keadaan saya dalam wad. Saya alami jangkitan di bahagian kelangkang dan perlu menjalani pembedahan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya tidak kira dimana anda berada.
“Semoga anda semua dalam rahmat dan lindungan Allah. Doakan kesihatan saya pulih,” katanya lagi. – UTUSAN










