Oxford Innotech raih kontrak pusat data RM4.8 juta dalam tiga minggu - Utusan Malaysia

Oxford Innotech raih kontrak pusat data RM4.8 juta dalam tiga minggu

NG Thean Gin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oxford Innotech Berhad (OXB) memperoleh kontrak kedua berkaitan pusat data bernilai RM4.8 juta dalam tempoh tiga minggu daripada pelanggan yang sama.

Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu itu melalui anak syarikat milik penuhnya, CG Solutions Enterprise Sdn. Bhd., menerima surat anugerah kedua daripada pejabat Singapura sebuah syarikat pakar infrastruktur pusat data dan bilik komputer berpangkalan di Australia.

Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berkata, kejayaan memperoleh projek kedua dalam tempoh singkat membuktikan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan teknikal dan kebolehan penghantaran kumpulan.

“Adalah sangat menggalakkan apabila kami berjaya memperoleh projek pusat data kedua daripada pelanggan yang sama dalam tempoh tiga minggu. Kami berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan terhadap kepakaran teknikal dan keupayaan penghantaran kami,” katanya dalam kenyataan.

Kontrak tersebut melibatkan pembekalan struktur keluli kritikal serta komponen logam berketepatan tinggi bagi sistem pengurusan aliran udara pusat data canggih, dengan pengguna akhir merupakan antara platform awan dan e-dagang terbesar dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kontrak baharu bernilai RM4.8 juta itu, jumlah keseluruhan kemenangan kontrak berkaitan pusat data yang diperoleh kumpulan setakat ini mencecah RM9.6 juta.

Menurutnya, selain sistem pengurusan aliran udara, OXB sedang giat mendapatkan kelayakan bagi membekalkan komponen berketepatan tinggi lain untuk rangkaian produk pusat data pelanggan dari Australia itu.

“Kami berhasrat memanfaatkan penghantaran pertama bagi membuktikan keupayaan teknikal kami dalam menghasilkan komponen berkualiti tinggi yang memenuhi spesifikasi ketat, sekali gus membuka peluang kepada projek baharu pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, kumpulan itu optimis untuk memperoleh lebih banyak projek dalam segmen pusat data berskala besar serta semikonduktor apabila permintaan dijangka meningkat tahun ini.

“Kontrak tersebut akan bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang akhir 2026, sekali gus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan,” tambah beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN