IPOH: Peniaga bazar Ramadan antara 27 peniaga yang dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sepanjang enam hari pelaksanaan Op Pantau 2026 yang bermula 19 Februari lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 860 premis di seluruh negeri.
Katanya, daripada 27 kes yang dikesan, sebanyak 23 kes melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga dan empat kes lagi di bawah Akta Timbang Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan dan tamat tempoh.
“Tindakan tersebut diambil semasa pemeriksaan dijalankan di kawasan tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri iaitu bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, pasar kering dan kedai runcit.
“Setiap kesalahan yang berjaya dikesan akan dikenakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan kompaun setakat ini berjumlah RM6,000.
“Dalam tempoh enam hari ini, kita juga ada menerima aduan rasmi mengenai bazar Ramadan berhubung kesalahan tiada tanda harga dan bagi kes itu, tindakan telah diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Walkabout dan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR), Program Ihsan Food Bank (i-FB) dan Patuh di Bazar Ramadan Taman Chempaka, di sini hari ini.
Mengulas mengenai program i-FB yang dijenamakan semula daripada inisiatif MySaveFood, beliau berkata, sebanyak 6,324 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai RM80,325.19 berjaya diselamatkan di 15 BRR pada tahun lalu.
Katanya, hasil pelaksanaan program itu telah memberi manfaat kepada 500 penerima terdiri daripada pelajar dan penghuni rumah kebajikan serta anak-anak yatim.
“Pelaksanaan i-FB memberi tumpuan kepada konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan kerjasama KPDN Perak dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 11 lokasi BRR dilaksanakan tahun ini di seluruh negeri melibatkan seramai 465 peniaga menyediakan pilihan jualan Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah. – UTUSAN










