Op Khas: 12 notis dikeluarkan, seorang pemandu bas positif dadah - Utusan Malaysia

Op Khas: 12 notis dikeluarkan, seorang pemandu bas positif dadah

MOHAMMAD Yusoff Abustan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres di Terminal Meru Raya, Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 12 notis dikeluarkan dan seorang pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di negeri ini sejak Jumaat hingga semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai tali pinggang keselamatan (penumpang), memandu di lorong kanan secara berterusan dan tiada pemandu kedua bagi jarak lebih 300 kilometer.

Katanya, kesalahan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 119 bas ekspres di depoh dan terminal, selain penyamaran anggota sebagai penumpang kenderaan berkenaan.

“Selain itu, kita turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas di terminal dan daripada 80 saringan yang dijalankan, seorang pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Terminal Meru Raya di sini semalam.

Menurut Mohammad Yusoff, meskipun masih terdapat beberapa kesalahan melibatkan pemandu bas ekspres, tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan mereka semakin baik apabila pemeriksaan rawak sepanjang laluan dari Ipoh ke Pulau Pinang mendapati hanya satu daripada empat kenderaan dikesan melakukan kesalahan.

Beliau berkata, ketiadaan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer atau empat jam merupakan kesalahan yang dikesan hasil penyamaran beliau sebagai penumpang bas.

Katanya, kegagalan tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya dan tiga pegawai operasi telah membuat penyamaran sebagai penumpang bas dan telah menaiki bas dari Pulau Pinang ke Ipoh bagi memantau secara langsung tahap pematuhan pemandu dan pengguna terhadap peraturan dan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

“Secara prinsipnya, banyak kenderaan mematuhi perundangan yang ditetapkan, malah pemeriksaan daripada empat kenderaan mendapati hanya sebuah bas melakukan kesalahan iaitu tiada pemandu kedua,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, lapan kenderaan barangan dan berat dikenakan tindakan sitaan kerana didapati melanggar larangan ditetapkan iaitu berada di atas jalan raya pada waktu yang tidak dibenarkan.

Katanya, tindakan terhadap lapan kenderaan itu diambil sepanjang tempoh larangan pemanduan atau road ban ke atas kenderaan barangan dan berat sempena sambutan Tahun Baharu Cina, iaitu pada 14 hingga 15 Februari lalu.

“Selain itu, JPJ Perak turut melaksanakan Op Motosikal dengan menjalankan pemeriksaan ke atas 1,976 buah motosikal. Daripada jumlah itu, sebanyak 248 buah motosikal diambil tindakan dengan 10 buah motosikal disita.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 1,109 notis saman telah dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya sehingga semalam, dengan kesalahan tertinggi melibatkan kegagalan memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas serta membawa muatan secara berbahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN