OKU 71 tahun pertama kali puasa tanpa ibu

OKU 71 tahun pertama kali puasa tanpa ibu

NOOR Izam Ahmad bersama Sharifah Mas’aza menguruskan Bidin Ariffin di Felda Sungai Tekam di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ketika insan lain gembira bersahur dan menjamah juadah berbuka bersama keluarga tercinta, perasaan pilu menghimpit seorang warga emas berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana pertama kali menjalani ibadah puasa tanpa ibu tersayang.

Bidin Ariffin, 71, yang tinggal di Felda Sungai Tekam di sini berkata, Allahyarham ibunya, Rahmah Shabudin meninggal dunia pada 24 Mei tahun lalu ketika berusia 103 tahun.

“Sejak kanak-kanak, saya dijaga oleh ibu dan ayah serta adik-beradik kerana berstatus OKU cacat kedua belah kaki. Saya hanya mampu duduk di rumah.

“Walaupun ada gangguan kesihatan tetapi tidak pernah meninggalkan ibadat ini sehingga kini.

“Ramadan tahun ini rasa berbeza kerana sejak 70 tahun lalu, saya termasuk lima beradik berbuka puasa dan sahur bersama ibu tercinta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Bidin berkata, kesedihannya sedikit terubat apabila anak saudaranya, Noor Izam Ahmad dan isteri, Sharifah Mas’aza menjaga serta mengambil berat kebajikannya.

Noor Izam, 53, berkata, bapa saudaranya tidak dapat berjalan akibat kecacatan pada anggota lutut dan kaki sejak kecil dengan hanya mampu mengesot.

Katanya, Bidin sebelum ini menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 tetapi sudah ditamatkan.

“Ini menimbulkan kesukaran perbelanjaan peralatan seperti lampin pakai buang dan susu khas yang memerlukan kira-kira RM2,000 sebulan,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541000057673 atas nama Bidin Ariffin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN