Di saat dirinya sibuk menempa nama sebagai penggiat seni dalam industri hiburan tanah air, pengacara dan usahawan, Nana Mahazan tampil mencabar kemampuannya dengan menubuhkan sebuah kafe yang bernama, 7 Baris.
Menurut Nana atau Nurul Hana Che Mahazan, penubuhan kafe tersebut tercetus kerana minatnya yang mendalam terhadap kopi dan cara pembuatannya.
Malah, dia sanggup menyertai kelas untuk mempelajari teknik menghasilkan kopi yang enak sebelum membuka sebuah premis sederhana yang kini menjadi ruang persinggahan penggemar kopi yang lain.
“Saya suka minum kopi. Jadi, saya pergi ke kelas untuk belajar teknik membuat kopi dan lakukannya sendiri di rumah. Saya mahu kongsikan rasa kopi yang sedap kepada pecinta kopi yang lain.
“Dari situlah lahirnya kafe 7 Baris iaitu tempat yang orang ramai boleh datang untuk minum kopi, makan, berbual dan rehat seketika. Konsep kafe ini juga lebih kepada ‘homey’, hangat dan ada jiwa,” katanya kepada Pancaindera.
Berkongsi mengenai nama kafe tersebut, usahawan yang berusia 42 tahun itu mengakui ia mempunyai simbolik yang cukup dekat dengan kehidupannya.
“Tujuh itu melambangkan kehidupan. Ada tujuh petala langit, tujuh lapisan langit, tujuh warna pelangi dan tujuh baris ayat Al-Fatihah. Dan saya suka nombor tujuh dan tujuh dalam bahasa Jepun adalah Nana.
“Jadi, kafe ini bukan sekadar tempat makan, tetapi tempat orang berhenti dan menulis baris hidup mereka sendiri,” jelasnya.
Berbeza dengan kebanyakan kafe lain, Nana memaklumkan 7 Baris mengutamakan ‘vibe’ dan rasa diterima, tidak kira sama ada pelanggan datang bersendirian, bersama rakan atau keluarga.
“Di 7 Baris, saya mahu orang datang bukan semata-mata kerana kopi, tetapi sebab rasa diterima. Tidak kisah jika ada yang datang berseorangan, dengan kawan, atau keluarga. Setiap pelanggan yang hadir sentiasa ada tempat di sini,” ringkasnya.
Sebagai individu yang aktif dalam dunia seni dan perniagaan, Nana mengakui cabaran membahagikan masa merupakan antara ujian terbesar buatnya.
Namun, disiplin dan kepercayaan kepada pasukan menjadi kunci kelangsungan operasi perniagaan yang diusahakannya.
“Saya tidak boleh buat semua perkara sendiri. Ada masa saya perlu fokus kerja dan kendalikan perniagaan saya yang lain di bawah Nana Mahazan International. Apa yang penting, saya sentiasa peka dengan situasi yang berlaku dan tidak lepas tangan,” tambahnya.
Bercerita lanjut mengenai momen yang paling berat dilalui sepanjang kafenya beroperasi, bekas peserta Akademi Fantasia Musim Pertama itu mengakui pernah terfikir untuk berputus asa setiap kali usahanya tidak membuahkan hasil.
“Momen paling berat adalah apabila kita sudah beri komitmen sepenuh hati, tetapi hasilnya lambat. Ketika itu saya perlu kuatkan mental. Jujur, saya pernah mahu menyerah.
“Tapi setiap kali berasa putus asa, saya akan ingat semula kenapa saya mulakannya. Dan apabila tengok pelanggan senyum, datang semula ke kafe, beri maklum balas baik, perasaan itu hilang sedikit demi sedikit,” katanya lagi.
Mengenai perancangan masa depan, Nana menyifatkan 7 Baris sebagai pelaburan jangka panjang yang dibina dengan nilai dan identiti tersendiri.
“Saya tidak bina kafe ini untuk ikut ‘trend’ sementara. Saya mahu ia berkembang perlahan-lahan tapi kukuh, dengan nilai dan identiti yang jelas.
“Untuk mereka yang mahu memulakan perniagaan, perasaan takut itu normal. Tapi jangan tunggu perasaan itu hilang. Mula secara kecil-kecilan terlebih dahulu, belajar erti jatuh bangun. Itu semua proses.Yang penting, kita berani memulakannya.
“Pada saya, kejayaan bukan sekadar angka. Kejayaan bila kita boleh cipta peluang untuk orang lain, kekal berprinsip, dan masih jadi diri sendiri walaupun dalam dunia bisnes yang mencabar,” ujarnya.










