Mydin perkukuh industri peruncitan, buka Mydin Mart di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Mydin perkukuh industri peruncitan, buka Mydin Mart di Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi memotong riben sebagai simbolik perasmian Mydin Mart Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri peruncitan negara apabila meluaskan rangkaian menerusi pembukaan Mydin Mart terbaharu di Bagan Datuk.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan cawangan ke-75 itu mencerminkan komitmen berterusan Mydin dalam memperluaskan rangkaian perniagaan ke kawasan luar bandar.

Katanya, pembukaan Mydin Mart Bagan Datuk di bawah pengurusan Tri Shaas Sdn. Bhd. itu melibatkan kos pelaburan sebanyak RM1 juta.

“Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik syarikat bagi memastikan pengguna terus mendapat akses kepada barangan berkualiti pada harga berpatutan.

“Mydin sentiasa komited untuk memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan membeli-belah yang lengkap dengan harga borong,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mydin Mart Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini hari ini.

Perasmian premis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ameer, pembukaan cawangan terbaharu itu juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain memberi ruang kepada usahawan dan pembekal tempatan untuk berkembang.

“Cawangan Mydin Mart Bagan Datuk dengan keluasan 7,000 kaki persegi ini menawarkan sebanyak 6,000 unit stok simpanan (SKU), merangkumi pelbagai pilihan barangan keperluan harian termasuk produk segar, barangan runcit, pakaian, perkakasan rumah dan produk tempatan,” katanya.

Tambah beliau, selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat, Mydin turut menyumbang Kotak SARA RAHMAH kepada 50 penerima melalui inisiatif Mydin Prihatin bagi meringankan kos perbelanjaan ketika menjalani ibadah bulan puasa.

“Sempena pembukaan rasmi ini, pelbagai promosi istimewa dan penjimatan menarik ditawarkan kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pengurusan Mydin atas kesediaan pembukaan cawangan itu yang disifatkan sebagai lokasi strategik di tengah laluan antara Teluk Intan, Bagan Datuk dan Sabak Bernam.

Katanya, pembukaan Mydin Mart di Bagan Datuk tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing sebaliknya akan mewujudkan jalinan kerjasama yang saling menguntungkan antara pasar raya berkenaan dan peruncit kecil di kawasan itu.

“Di sini, kedai runcit boleh membeli mengikut harga borong, ini bermakna ada jalinan kerjasama yang baik antara Mydin dengan peruncit-peruncit yang lain.

“Tambahan pula, apabila bantuan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) boleh dibeli di sini, ia memperlihatkan bahawa terdapat rangkaian dari segi pembelian barang-barang yang menjadi keperluan harian kepada keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN