SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keizinan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak terhadap rumah ibadat termasuk kuil yang dibina tanpa mengikut jalur hukum dan peraturan yang sah.
Yang Dipertua MPSepang, Dr. Ani Ahmad berkata, pihaknya bersedia mengambil tindakan sekiranya diarahkan, namun menegaskan sebarang pelaksanaan atau penguatkuasaan adalah tertakluk kepada keputusan dan arahan daripada kerajaan negeri.
Menurut beliau, perkara berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan isu perundangan, hak milik tanah serta sensitiviti keagamaan yang memerlukan penelitian menyeluruh.
“Apabila Perdana Menteri menekankan isu ini, kami memberikan sokongan. Namun, untuk mengeluarkan kenyataan rasmi adalah sukar kerana perkara tersebut perlu dirujuk kepada kerajaan negeri. Sebenarnya, kami telah membincangkan isu ini secara terperinci semalam, tetapi susunan arahan untuk tindakan perlu difahami.
“Ini kerana terdapat sembilan daerah dan 12 PBT di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea MPSepang Bersama Media di sini hari ini.
Hari ini media melaporkan, PBT diberi keizinan untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Anwar berkata, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.
Mengulas lanjut, Ani berkata, isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah ada yang melibatkan tanah kerajaan dan juga tanah milik persendirian, sekali gus memerlukan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata, MPSepang tidak pernah berkompromi terhadap pembinaan struktur keagamaan tanpa kebenaran walaupun kawasan tersebut kelihatan kosong kerana dari sudut peraturan, perkara itu tidak dibenarkan.
Jelasnya, pengawasan selepas penguatkuasaan merupakan satu cabaran besar kerana ia melibatkan banyak lokasi di sekitar Sepang yang mempunyai struktur keagamaan tidak berdaftar. – UTUSAN










