KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar, satu inisiatif yang bertujuan membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara yang berdepan cabaran memenuhi keperluan asas sepanjang pengajian.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, program ini merupakan usaha jangka panjang untuk memastikan pelajar tidak tercicir hanya kerana kekangan keperluan asas.
“Peningkatan kos makanan, pengangkutan dan penginapan memberi tekanan besar kepada pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
“Laporan Nutrition Society of Malaysia bertajuk Financial Problems Associated with Food Insecurity Among Public University Students in Peninsular Malaysia menunjukkan lebih 60 peratus pelajar mengalami ketidakjaminan makanan.
“Data itu menjadi pendorong kepada McDonald’s Malaysia untuk melancarkan program ini bagi meringankan beban pelajar menghadapi tekanan kehidupan harian,” katanya ketika majlis pelancaran Program Santun Pelajar, baru-baru ini.
Berikutan itu, McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk menyajikan satu juta hidangan Nasi Mekdi menjelang akhir tahun 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen membantu golongan pelajar kurang berkemampuan.
Setiap hidangan mengandungi nasi putih, kuah kari kentang, Ayam Tenders McD pedas, telur dan minuman teh ais limau, menjadikannya lengkap dari segi nutrisi dan mudah disediakan dalam skala besar.
Sebagai fasa permulaan, McDonald’s menyerahkan baucar Nasi Mekdi kepada wakil 20 IPT di 11 negeri bagi membolehkan pelajar menikmati hidangan berkhasiat untuk kekal fokus dalam pembelajaran.
Sepanjang tempoh fasa awal program bermula 19 Februari hingga 10 Mac 2026, sebanyak 50,000 hidangan Nasi Mekdi akan diagihkan setiap Isnin hingga Jumaat sempena Ramadan.
Program Santun Pelajar ialah kesinambungan komitmen McDonald’s dalam memperkasa belia Malaysia melalui latihan, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
“McDonald’s Malaysia sudah sekian lama menyokong pembangunan belia melalui kelayakan vokasional dan peluang pekerjaan melalui Akademi Vokasional McDonald’s serta program SLDN.
“Dengan lebih 10,000 belia bekerja bersama kami, kami yakin kemampuan kami sebagai rakan pembangunan belia negara. Program Santun Pelajar ialah lanjutan semula jadi komitmen tersebut,” katanya.
KERJASAMA DENGAN IPT
Azmir berkata, program ini dimulakan di 20 IPT terpilih dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi mengenal pasti penerima yang layak.
“Baucar Nasi Mekdi boleh ditebus di restoran yang ditetapkan bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam bagi memastikan proses penebusan tidak terganggu ketika waktu puncak.
“Pelajar juga boleh memanfaatkannya untuk berbuka puasa atau sahur, sekali gus memberi fleksibiliti sepanjang Ramadan,” jelasnya.
Katanya, Nasi Mekdi dipilih kerana ia makanan ruji rakyat Malaysia dan sinonim dengan menu tempatan seperti Nasi Lemak McD dan Ayam Goreng McD.
“Program ini turut mengambil kira aspek praktikaliti dalam pengedaran supaya pelajar dapat menikmati hidangan berkhasiat tanpa menjejaskan masa pembelajaran,” ujarnya.

AGIH BAUCAR NASI MEKDI
Bagi fasa permulaan, pemilihan pelajar dibuat berdasarkan data disediakan pihak IPT dan mengikut kuota setiap institusi.
“Sepanjang Ramadan, 20 cawangan restoran berhampiran IPT terlibat dalam pengagihan, termasuk di Melaka, Kedah dan Pahang, dengan setiap cawangan mengagihkan kira-kira 200 baucar sehari bergantung jumlah pelajar.
“McDonald’s berharap inisiatif ini dapat meringankan sebahagian daripada beban kos sara hidup pelajar walaupun tidak dapat membantu semua yang memerlukan,” katanya.
USAHA JANGKA PANJANG
Menurut Azmir, dalam jangka panjang, program ini akan diperluaskan secara berperingkat melibatkan lebih banyak IPT di seluruh negara dengan sasaran sehingga 75 institusi.
Katanya, McDonald’s Malaysia turut terbuka bekerjasama dengan penyelidik bebas untuk menilai impak program terhadap kesejahteraan dan prestasi akademik pelajar.
“IPT juga akan mendapatkan maklum balas daripada pelajar terlibat untuk menilai keberkesanan pelaksanaan.
“Jika hasilnya melebihi jangkaan, program ini berpotensi diperluaskan pada tahun-tahun akan datang untuk membantu lebih ramai pelajar,” katanya.
TANGGUNGJAWAB KEPADA KOMUNITI PELAJAR IPT
Tambah Azmir, dengan kerjasama IPT, pelajar memerlukan bantuan dapat dikenal pasti secara telus.
“Program Santun Pelajar membolehkan McDonald’s menyalurkan sokongan secara langsung kepada pelajar yang memerlukan dan memberikan bantuan asas dalam tempoh kritikal.
“Melalui inisiatif ini, McDonald’s dapat menunjukkan komitmen berterusan membantu pelajar menghadapi cabaran kos sara hidup dan memastikan keperluan asas mereka dipenuhi,” jelasnya. – UTUSAN










