GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menahan dua Vesel Nelayan Asing Indonesia (VNAI) dalam tempoh empat hari menerusi rondaan dan pemantauan berterusan yang dijalankan di kawasan perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, secara keseluruhannya, seramai 10 kru warga Indonesia turut diberkas dalam operasi itu kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan haram di perairan negara.
“Dalam operasi pertama pada 6 Februari lalu, sebuah VNAI dan lima kru yang berusia antara 19 hingga 34 tahun diberkas kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sementara itu, tangkapan terbaharu pula berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari semalam selepas sebuah lagi vesel nelayan asing ditahan kira-kira 35 batu nautika ke barat daya Pulau Kendi.
“Tangkapan kedua ini juga melibatkan lima kru warga Indonesia yang berusia antara 32 hingga 52 tahun selepas mereka dikesan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara serta gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1956/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.
“Semua kru dan vesel yang ditahan telah dibawa ke Jeti Maritim Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.-UTUSAN










