GEORGE TOWN: Lima nelayan termasuk seorang tekong warga Indonesia ditahan bersama sebuah vesel kerana menceroboh perairan negara, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, terdahulu, vesel nelayan asing (VNA) itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh aset KM BURAU milik Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi.
Beliau berkata, VNA itu ditahan di perairan sekitar 101 kilometer (km) dari Barat Daya Pulau Kendi pada pukul 11.45 pagi semalam.
“Kapal penguat kuasa Maritim Malaysia menghampiri VNA terbabit dan mengarahkan VNA tersebut untuk berhenti bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
“Namun, VNA ini enggan berbuat demikian sehingga memaksa pihak Maritim Malaysia mengejar vesel ini hampir satu jam. VNA kemudiannya berjaya ditahan dan penggeledahan secara keseluruhan dilakukan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razali, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat lima orang kru termasuk tekong warganegara Indonesia sedang mengendalikan VNA terbabit beserta anggaran 150 kg hasil tangkapan ikan.
“Bot ini turut didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran serta kesemua kru berumur 25 hingga 40 tahun gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1986. Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, sebuah bot penguat kuasa Maritim Malaysia juga telah mengesan dan menemukan empat unit bubu naga di posisi 0.11 km ke timur Jelutong pada 6 Ogos lalu.
“Kesemua unit bubu naga ini telah dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN










