Malaysia kena tempias konflik Iran-Amerika

Malaysia kena tempias konflik Iran-Amerika

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak terkecuali menerima tempias sekiranya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran memuncak, dengan implikasi besar terhadap ekonomi serta keselamatan serantau.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang peperangan di Asia Barat berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia, mengganggu perdagangan antarabangsa dan mencetuskan lonjakan harga yang akhirnya memberi kesan langsung kepada Malaysia.

“Perang yang membabitkan Iran dan Amerika Syarikat akan memberi impak sangat besar bukan sahaja kepada Iran dan rantau Asia Barat, malah kepada dunia dan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN-Ketereh) yang meminta kerajaan menyatakan penilaian Wisma Putra mengenai kemungkinan tercetusnya konflik bersenjata antara kedua-dua negara berkenaan serta implikasinya terhadap keselamatan serantau.

Menurut Mohamad, ketegangan meningkat susulan pendirian tegas Washington terhadap isu nuklear Tehran, selain laporan penambahan aset ketenteraan Amerika Syarikat di Teluk Parsi termasuk penempatan semula kapal induk, USS Gerald R. Ford dari Mediterranean.

Bagaimanapun, katanya, saluran diplomatik masih terbuka dan menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

“Rundingan yang dimudah cara oleh Oman memperlihatkan kemajuan apabila kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan termasuk sesi susulan di Geneva. Ini jelas menunjukkan masih ada persefahaman untuk meneruskan rundingan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa salah percaturan boleh mencetuskan konflik lebih luas. Antara risiko paling serius ialah kemungkinan penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan strategik utama penghantaran minyak dan gas dunia.

“Jika Selat Hormuz ditutup, bekalan tenaga global akan terjejas. Bekalan minyak dan gas akan berkurangan dan harga boleh melonjak dengan mendadak,” katanya.

Tambah beliau, gangguan sedemikian bakal memburukkan lagi tekanan terhadap ekonomi global, seumpama kejutan rantaian bekalan dan komoditi susulan perang antara Rusia dan Ukraine sebelum ini.

Selain itu, Mohamad menegaskan Malaysia akan terus konsisten menyeru keamanan serta penyelesaian secara diplomatik sekiranya ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran meningkat.

“Pendirian Malaysia konsisten. Kita menjunjung keamanan. Sebarang bentuk pencerobohan atau keganasan terhadap kemanusiaan, tanpa mengira siapa yang bertanggungjawab, akan kita kecam,” katanya.

Menurutnya, meskipun Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara Asia Barat termasuk Iran dan Amerika Syarikat, dasar luar negara kekal berteraskan prinsip berkecuali serta penglibatan secara aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN