KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi sebagai peneraju dunia Islam sekiranya segala kelebihan dimiliki negara digerakkan secara strategik dan berteraskan nilai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan terhadap model Islam Malaysia bukan hanya datang dari dalam negara, malah turut diakui pengkaji-pengkaji antarabangsa.
Menurutnya, gaya hidup Islam di Asia Tenggara khususnya Malaysia merupakan model kepada negara-negara Islam lain.
“Faktor utama ialah struktur masyarakat majmuk yang stabil dengan majoriti muslim dan minoriti signifikan bukan Islam, sekali gus menawarkan model pengurusan kepelbagaian yang praktikal.
“Selain itu, kedudukan Malaysia dalam kelompok negara paling aman dunia, mempunyai institusi Islam progresif serta kepimpinan yang lantang memperjuangkan isu kemanusiaan termasuk Palestin menyokong kenyataan itu,” katanya pada Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026 di ibu negara, hari ini.
Zulkifli berkata, keupayaan rakyat menguasai bahasa Inggeris dan Arab turut menjadi kelebihan strategik dalam memperluas pengaruh dan wacana Islam di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa dunia kini memasuki era tidak normal yang menyaksikan krisis nilai dan kemanusiaan semakin membimbangkan.
“Oleh itu, kebangkitan Islam perlu digerakkan dengan gagasan pemikiran jelas.
Perubahan tanpa idea besar hanya akan gagal sebagaimana kejatuhan syarikat gergasi seperti Nokia yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Jika kita kekalkan keamanan, kukuhkan institusi dan bentuk generasi muda dengan fikrah wasatiyyah serta berteraskan nilai Malaysia Madani, tidak mustahil negara ini mampu menerajui dunia Islam,” katanya. – UTUSAN










