Majlis Raja-Raja bincang isu keselamatan, hal ehwal Islam - Utusan Malaysia

Majlis Raja-Raja bincang isu keselamatan, hal ehwal Islam

SULTAN Ibrahim berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara, semalam. Mesyuarat yang memasuki hari kedua itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. – FACEBOOK SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu keselamatan dan pertahanan negara, pentadbiran hal ehwal Islam, kebajikan pendidikan, pelantikan kehakiman serta perdagangan antarabangsa antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 yang berlangsung selama dua hari di Istana Negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, persidangan itu menerima taklimat terkini mengenai keselamatan negara daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.

Katanya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menyampaikan taklimat tentang tahap kesiapsiagaan dan aspek pertahanan negara.

“Mesyuarat turut membincangkan laporan serta cadangan daripada Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri yang ditubuhkan lebih 40 tahun lalu melalui sumbangan raja-raja bagi membantu pelajar terpi­lih menerima biasiswa serta anugerah diraja di semua ins­titusi pengajian tinggi awam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, raja-raja turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas per­kenan menyalurkan sumbangan RM1.3 juta pada 2025 bagi menyokong dana berkenaan.

Dalam aspek pentadbiran hal ehwal Islam di setiap negeri, Syed Danial berkata, mesyuarat membincangkan pelantikan anggota ke dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), pensijilan halal, pengurusan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan bagi penyelenggaraan dan menaik taraf institusi pendidikan Islam serta pelaksanaan dan pencapaian program takmir di seluruh negara.

“Raja-raja turut berkenan supaya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meneruskan tugas sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Syed Danial berkata, mesyuarat ke-271 itu turut meneliti kertas dasar berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 berhubung perkara tanah, selain membincangkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Katanya, persidangan juga mempertimbangkan cadangan pelantikan hakim ke Mah­kamah Tinggi, Mahkamah Ra­yuan dan Mahkamah Persekutuan, selain pelantikan lain yang memerlukan pertimbangan Majlis Raja-Raja termasuk melibatkan Lembaga Pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan ber­kaitan perdagangan, katanya, majlis turut diberi taklimat serta penjelasan mengenai beberapa isu berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 itu dipengerusikan Sultan Mizan Zainal Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN