Majikan gaji pemandu asing secara haram disiasat bawah AMLA - JPJ

Majikan gaji pemandu asing secara haram disiasat bawah AMLA – JPJ

jpj
MUHAMMAD Kifli Ma Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Mana-mana majikan yang menggaji pekerja asing sebagai pemandu kenderaan komersial secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas termasuk disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan yang memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi mengambil tindakan terhadap majikan menggunakan akta di bawah bidang kuasa mereka.

Katanya, hasil operasi yang dilaksanakan menerusi Op Pemandu Warga Asing (PEWA) mendapati ramai pemandu asing yang ditahan diambil bekerja oleh syarikat tempatan bagi mengurangkan kos pekerja.

“Trend ini amat membimbangkan. Terdapat majikan yang secara sedar menggaji pekerja asing tanpa lesen vokasional yang sah kerana kosnya lebih murah.

“Keuntungan tidak seharusnya mengatasi aspek keselamatan awam,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Semenyih, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan NFCC membolehkan pihak berkuasa meneroka pendekatan penguatkuasaan lebih menyeluruh termasuk siasatan kewangan serta kemungkinan kesalahan berkaitan penggajian tidak sah.

“Bidang kuasa NFCC membolehkan tindakan lebih tegas diambil termasuk meneliti elemen kewangan di bawah rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram.

“Ini akan membolehkan penguatkuasaan lebih komprehensif terhadap majikan yang ingkar,” katanya.

Jelasnya, langkah itu menandakan perubahan strategi penguatkuasaan daripada hanya menyasarkan pemandu kepada turut mengambil tindakan terhadap majikan yang dipercayai memudahkan amalan berkenaan.

Muhammad Kifli berkata, JPJ juga telah mengenal pasti beberapa premis yang disyaki menggaji ramai pemandu asing secara haram.

“Operasi penguatkuasaan akan dilakukan termasuk serbuan bersasar akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Pendekatan penguatkuasaan yang diperluaskan itu bertujuan memberi kesan pencegahan kepada majikan selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya melibatkan pemandu kenderaan komersial yang tidak terlatih,” jelasnya.

Tambahnya, apabila majikan berhenti menggaji pemandu yang tidak layak masalah kemalangan membabitkan warga asing akan berkurangan dengan ketara.

“Kita mahu hentikan perkara ini dari puncanya. Sehubungan itu, JPJ Selangor telah diarahkan memulakan inisiatif ini dengan menyasarkan kilang-kilang yang dikenal pasti menggaji warga asing sebagai pemandu,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN