Tukar nombor plat palsu elak ditahan pihak berkuasa

Tukar nombor plat palsu elak ditahan pihak berkuasa

ERICK Jusiang (kanan) menunjukkan lori ‘RORO’ yang ditahan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada Operasi Khas Pengarah - Pemandu Warga Asing (PeWA) di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik pemandu warga asing menukar nombor pendaftaran palsu pada lori Roll On Roll Off (RORO) bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ditahan dalam Operasi Khas Pengarah – Pemandu Warga Asing (PeWA) di sini. 

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erick Jusiang berkata, semakan mendapati pemandu itu menggunakan nombor pendaftaran lori lain daripada syarikat sama pada kenderaan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tiada insurans dan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Lori berkenaan antara 71 kenderaan disita termasuk 66 buah motosikal, dan siasatan lanjut ke atas lori itu mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama tidak memiliki lesen memandu dan pelbagai kesalahan lain,” katanya pada sidang akhbar di Tasek Tambahan di sini, hari ini. 

Jelasnya, sebanyak 1,112 kenderaan yang telah diperiksa dalam operasi itu sehingga jam 1 petang, dan 189 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 374 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada insurans serta kesalahan teknikal,” katanya. 

Beliau berkata, seramai 71 warga asing ditahan dalam operasi itu

“Mereka yang ditahan merupakan penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk dari Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh, Turkiye dan Indonesia,” katanya.

Jelas Erick, JPJ Kuala Lumpur turut memfokuskan kepada motosikal yang telah diubahsuai (tambahan side car), kenderaan milik warga tempatan yang disewa dan kenderaan perdagangan seperti lori dan ‘RORO’ yang dikendalikan oleh warga asing untuk aktiviti perniagaan.

“Kami menegaskan kepada semua pemilik kenderaan berdaftar agar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa lesen dan menyalahgunakan LKM  bagi tujuan perniagaan.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan berdaftar tersebut,” katanya.

Menurutnya, warga asing yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan bakal dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu) dan Seksyen 57 (Lesen vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN