IPOH: Taktik licik sindiket dadah menjadikan sebuah lori terbiar berhampiran kawasan lombong di Lahat sebagai stor simpanan bahan terlarang terbongkar susulan tangkapan tiga lelaki dipercayai anggota sindiket ‘Boy Lembu’, kelmarin.
Serbuan pada pukul 7 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas risikan dijalankan selama dua minggu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 50 dan 17 tahun ditangkap bersama seorang lelaki warga asing berumur 35 tahun.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan 33 bungkusan plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 32 kilogram (kg) bernilai RM94,000.
“Siasatan mendapati, sindiket tersebut aktif sejak awal tahun lalu dan menjadikan sebuah lori terbiar sebagai stor penyimpanan dadah untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Berdasarkan siasatan, kenderaan berat itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Butterworth, Pulau Pinang dan telah empat tahun ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini.
Menurut Abang Zainal, berdasarkan ujian saringan air kencing, dua lelaki warga tempatan yang ditahan negatif dadah manakala lelaki warga asing itu pula positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati lelaki berusia 50 tahun memiliki tiga rekod kes jenayah dan empat dadah manakala remaja berusia 17 tahun dan lelaki warga asing masing-masing dengan rekod bersabit kes narkotik.
“Rampasan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 42,000 penagih. Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga Ahad depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Tasek Square Residential di sini semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik menjumpai 17 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 114 gram dianggarkan bernilai RM13,680.
“Selain dadah, pihak polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dan penagihan iaitu satu unit timbang digital, botol kaca yang diubah suai dan bungkusan plastik kosong.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod bersabit kes dadah dan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki India dikenali sebagai ‘Anne’ di kawasan Jelapang.
“Pihak BSJN Ipoh kini giat mengesan saki-baki ahli sindiket serta pembekal utama yang terlibat dalam rangkaian tersebut. Suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN










