Lelaki tidak mengaku angkut tujuh migran Indonesia yang diseludup - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku angkut tujuh migran Indonesia yang diseludup

WON Kim Howi didakwa di Mahkamah Sesyen Manjung atas tuduhan mengangkut tujuh migran warga Indonesia yang diseludup, tiga minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Manjung di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut tujuh migran warga Indonesia yang diseludup, tiga minggu lalu.

Tertuduh, Won Kim Howi, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Kim Howi sebagai pemandu kenderaan jenis Toyota Camry berwarna perak didapati telah mengangkut tujuh migran warga Indonesia berusia antara 18 hingga 53 tahun yang diseludup ke negara ini.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Pantai Saujana 15, Pantai Remis di dalam daerah Manjung pada pukul 8.30 pagi, 6 Februari 2026.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya jika disabitkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Edry Rusyaidi Edmy tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki terbabit berikutan penahanan tertuduh dijalankan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak menawarkan sebarang jaminan.

Dalam prosiding itu, beliau turut memohon kes yang dihadapi tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di bawah SOSMA.

Bagaimanapun, Soo Liang Xhe yang merupakan peguam mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan ke atas anak guamnya dengan alasan lelaki itu telah berusia dan mengalami masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian menetapkan bahawa permohonan jaminan bagi kes itu hanya boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tarikh berkenaan ditetapkan selepas ketujuh-tujuh imigran yang didakwa diseludup tertuduh dalam kes ini selesai dijatuhkan hukuman oleh mahkamah yang dijadualkan pada 5 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN