KLUANG: Seorang lelaki berputih mata selepas kerugian RM500,000 dipercayai diperdaya individu yang menyamar sebagai pemilik tanah dalam urusan sewaan tanah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa, 44, dihubungi seorang individu yang mengaku mewakili sebuah syarikat memiliki tanah berkenaan berhubung cadangan perladangan kelapa sawit.
“Mangsa kemudian bersetuju menyewa tanah berkenaan dan membuat bayaran deposit secara berperingkat bermula 30 Oktober hingga 4 November tahun lalu.
“Selepas membuat bayaran keseluruhan sebanyak RM500,000, mangsa mendapati tanah yang disewa itu tidak pernah didaftarkan atas nama syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-778 4222, 07-778 4256 atau 07-776 6822,” katanya. – UTUSAN










