Laut, Sungai Kelantan lokasi baharu penyeludupan

Laut, Sungai Kelantan lokasi baharu penyeludupan

MOHD. Yusoff Mamat (tengah) semasa sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Laluan laut dan Sungai Kelantan menjadi lokasi terbaharu sindiket penyeludupan selepas polis bertindak tegas merobohkan pangkalan haram serta mengawal ketat Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sejak itu sindiket mengeksploitasi ruang laut yang luas dan terbuka sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.

Katanya, perubahan modus operandi itu menunjukkan sindiket semakin tersusun, terancang dan berani, dengan kemasukan harian dikesan melalui laut sebelum disalurkan ke Sungai Kelantan dan seterusnya ke darat.

“Laluan laut ini terlalu luas dan terbuka. Tanpa sistem pemantauan teknologi seperti Remote Sensored Site (RSS) kita berdepan kesukaran mengesan kemasukan bot penyeludup lebih awal.

“Mereka boleh bergerak jauh, termasuk ke kawasan Besut, Terengganu dan lokasi lain tanpa dikesan. Sebab itulah kita perlukan kemudahan RSS sebagaimana yang dicadangkan di Pulau Tengkorak, Tumpat,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, rangkaian penyeludupan turut menjadikan penempatan penduduk kampung sebagai rumah transit untuk menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi melancarkan pergerakan mereka.

Katanya, Polis Kelantan telah menjalinkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin bagi mengukuhkan kawalan perairan negara.

“Kawasan darat pula, pasukan khas digerakkan untuk pemantauan dan operasi berterusan.

“Usaha itu penting bagi mengekang Kelantan daripada terus menjadi hab transit jenayah rentas sempadan yang berpotensi mengancam keselamatan negeri dan negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN