KOTA TINGGI: Seorang ibu bersama bayi lelakinya yang berusia tiga bulan maut selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 65, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, pemandu wanita berkenaan dilapor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala bayinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Manakala empat lagi penumpang kereta dan pemandu lori kini sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 7.20 malam.
Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza dipandu mangsa bersama lima penumpang lain serta sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun.
Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila Perodua Bezza dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
Mayat kedua-dua mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN










