MELAKA: Lapan penuntut kolej vokasional (KV) di negeri ini yang disyaki terlibat dalam kes membelasah rakan sekolej minggu lalu telah direman dan dikenakan tindakan penggantungan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua tindakan disiplin dan siasatan kini berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Benar ada berlaku kes berkenaan yang didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan mangsa. Semua tindakan ketika ini adalah di bawah KPM kerana ia melibatkan kolej.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hanya membimbing daripada segi prosedur tindakan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar kolej terbabit dipercayai menjadi mangsa serangan sekumpulan pelajar.
Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa dan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa dan kementerian.
Rahmad berkata, tempoh penggantungan maksimum kesemua yang terlibat adalah selama dua minggu.
“Tiada tindakan buang sekolah setakat ini, namun terdapat pelajar yang memohon pertukaran institusi dan perkara itu tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) KPM,” katanya. – UTUSAN










