PETALING JAYA: Lamb Weston, syarikat pembekal kentang sejuk beku global, mengumumkan pelan peluasan pasaran secara agresif ke segmen runcit Malaysia bagi mengukuhkan lagi penguasaan jenama itu.
Langkah ini menandakan peralihan strategik syarikat daripada hanya menjadi pembekal utama sektor perkhidmatan makanan (B2B) kepada penguasaan pasaran pengguna secara terus (B2C).
Pengarah Komersial Asia Tenggaranya, Vicky Mukhi berkata, syarikat melihat potensi pertumbuhan luar biasa di Malaysia susulan perubahan drastik tabiat pemakanan pengguna yang kini lebih cenderung menikmati hidangan berkualiti restoran di rumah.
“Kami telah berada di Malaysia selama lebih 63 tahun, namun selama ini kami lebih dikenali sebagai penggerak di sebalik tabir bagi segmen restoran khidmat pantas (QSR) serta sektor hotel, restoran dan kafe (Horeca).
“Kini, kami melancarkan fasa pertama perniagaan berorientasikan pengguna untuk membawa produk gred premium ini terus kepada rakyat Malaysia melalui rangkaian runcit tempatan,” katanya dalam majlis tasting eksklusif “Rasa Bersama” di sini, semalam.
Menurut Vicky, pasaran Malaysia merupakan antara fokus utama di rantau ini. Walaupun kini tertumpu kepada pasar raya fizikal, syarikat sedang menilai peluang untuk menembusi platform e-dagang dan perdagangan pantas (quick commerce) dalam masa terdekat.
“Di Singapura, kami telah pun memulakan fasa kedua melalui platform e-dagang seperti RedMart. Strategi yang sama bakal menyusul di Malaysia tidak lama lagi bagi memastikan capaian produk kami lebih meluas ke seluruh pelosok negara,” jelas beliau.
Bagi menembusi pasaran runcit dengan berkesan, Lamb Weston memperkenalkan enam unit simpanan stok (SKU) dengan harga kompetitif antara RM11.30 hingga RM13.90 setiap pek.
Mengulas lanjut, Vicky berkata, peluasan pasaran ini disokong oleh rantaian bekalan yang mampan.
Katanya, hampir kesemua kemudahan pemprosesan syarikat terletak berhampiran kawasan penanaman bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kualiti produk.
“Operasi kami adalah hujung ke hujung (end-to-end). Kentang diproses terus dari ladang ke dalam beg pembungkusan dengan jarak perjalanan yang sangat singkat bagi mengurangkan jejak karbon, sekali gus memastikan keberkesanan kos dan kualiti apabila produk sampai ke tangan pengguna di Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Komersial Runcit dan Servis Makanan Malaysia dan Singapura, Evelynn Ng berkata, syarikat mempertaruhkan tiga produk utama iaitu Potato Dippers, Rustic Fries, dan Grill Fries Salt dan Pepper untuk memacu jualan dalam tahun pertama ini.
“Harga kami sangat disasarkan kepada pasaran tempatan dengan pelbagai saiz pek (500g dan 750g) bagi memberi nilai terbaik kepada pengguna tanpa menjejaskan kualiti premium yang sinonim dengan nama Lamb Weston,” katanya.
Sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang bakal menjelang, Lamb Weston telah merangka kalendar promosi yang padat termasuk aktiviti pensampelan di stor dan tawaran harga istimewa untuk menarik minat lebih ramai pelanggan baharu. –UTUSAN










