IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia membantu kerajaan negeri dalam program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, hal ehwal tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun kementerian sedia memainkan peranan sokongan bagi memastikan proses pemutihan dilaksanakan secara adil dan mengikut undang-undang.
Menurutnya, proses pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sedang giat dijalankan.
“Urusan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab menguruskan perkara itu, bukannya kementerian, namun kami bersedia untuk membantu.
“Di bawah kementerian, terdapat satu bahagian khusus bagi rumah ibadat bukan Islam manakala di bawah Jabatan Perdana Menteri pula terdapat JAKIM.
“Kami akan membantu dan bekerjasama secara kolektif untuk menyelesaikan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian bantuan Madani sempena Tahun Baharu Cina kepada 800 pelajar dari 18 buah sekolah di SRJK (C) Bercham, di sini hari ini.
Kor Ming berkata, semua rumah ibadat diwajibkan mematuhi undang-undang termasuk mendapatkan kebenaran merancang sebelum menduduki atau membina mana-mana tapak.
Menurutnya, kebenaran merancang mesti dimohon dan syarat itu terpakai kepada semua rumah ibadat termasuk gereja, masjid, kuil dan tokong.
“Kita perlu faham isu ini tidak timbul dalam sekelip mata. Sesetengah rumah ibadat telah wujud sejak ratusan tahun dahulu, malah sebelum Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan digubal, struktur-struktur ini telah pun wujud
“Jadi, undang-undang manakah yang boleh mereka patuhi? Sebab itulah saya menegaskan keperluan untuk menangani perkara seperti ini dengan penuh kebijaksanaan dan pendekatan perdamaian,” katanya.
Menurutnya, apa yang diperlukan ialah proses pemutihan dengan syarat rumah ibadat tersebut tidak mengganggu ketenteraman awam, menceroboh rizab sungai atau menjejaskan aliran trafik jalan raya. – UTUSAN










