Komander AKPS dipercayai ditembak pembunuh upahan

Komander AKPS dipercayai ditembak pembunuh upahan

POLIS memeriksa tempat kejadian Mohd. Nasaruddin M. Nasir diserang dua suspek bermotosikal dan melepaskan tembakan ke arahnya berhampiran Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Individu yang menembak Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)  Bukit Kayu hitam dipercayai pembunuh upahan yang diupah oleh sindiket.

Ini ekoran tindakan agensi itu memerangi pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang di sempadan dipercayai menjadi motif serangan komander agensi itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dua suspek yang melepaskan tembakan itu dipercayai diupah sindiket.

Katanya, pihaknya akan menyiasat semua elemen termasuk faktor ketidakpuasan hati sindiket terhadap agensi berkenaan atau pasukan penguat kuasa lain.

“Saya percaya dan semua orang pun tahu dalam tahun ini AKPS sendiri telah menzahirkan banyak kejayaan dari segi rampasan, contohnya pada bulan lalu rampasan 100 tan beras, daging khinzir dan sebagainya

“Mungkin ketidakpuasan hati sindiket-sindiket kerana bagi pihak polis pun, kita banyak tangkap kes penyeludupan migran, maknanya yang berpusat di sini sebab itu mangsa adalah Komander AKPS yang bertanggungjawab di atas penugasan beliau di Kompleks ICQS,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi semalam, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir diserang dua lelaki berpistol menaiki motosikal yang mengekorinya ketika dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin, Bukit Kayu Hitam.

Polis masih mengesan identiti kedua-dua suspek yang ketika kejadian berpakaian serba hitam dan mengenakan topi keledar berpenutup penuh, manakala lampu motosikal dipadamkan bagi mengaburi mangsa.

“Jarak suspek dengan mangsa ketika tembakan dilepaskan kira-kira satu meter dengan kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kawasan berhampiran diteliti bagi mengenal pasti apa-apa maklumat yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Op Tutup dilakukan di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Padang Terap.

Suspek dipercayai menggunakan pistol separa automatik berdasarkan kesan serpihan peluru yang pecah dalam kenderaan dinaiki Mohd. Nasaruddin.

Kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN