PETALING JAYA: Sebanyak tiga lagi sekolah ditutup sementara susulan kebakaran sebuah kilang memproses getah di Kawasan Perindustrian Sengkang, Kulai sejak kelmarin.
Ini menjadikan keseluruhan lima sekolah ditutup sementara setakat ini, selepas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan makluman Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2 dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai.
“Murid sekolah berkenaan akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga Jumaat,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau menasihatkan penduduk setempat sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
“Pemantauan berterusan masih dilaksanakan JAS bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar dilaporkan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang kelmarin.
Setakat semalam, kira-kira 70 peratus kebakaran berjaya dipadamkan menerusi bantuan 25 tong buih pemadam daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka serta tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, tiada bahan pencemar berbahaya dikesan setakat ini dan kualiti udara di kawasan sekitar kilang terbakar itu tidak membimbangkan.-UTUSAN










