Ketua jabatan disiasat kena direhatkan

Ketua jabatan disiasat kena direhatkan

BORHAN DOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mana-mana ketua jabatan atau agensi awam yang berdepan siasatan perlu direhatkan atau bercuti bagi memastikan proses yang berlangsung dijalankan secara telus dan bebas tanpa sebarang persepsi campur tangan.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah berkata, ini termasuklah isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sementara menunggu siasatan Jawatankuasa Khas selesai.

Katanya, tindakan merehatkan bukan bererti menghukum, sebaliknya sebahagian langkah pentadbiran dalam usaha menjaga integriti institusi dan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

“Apabila beliau direhatkan, gaji dan faedah beliau boleh terus berjalan seperti biasa, namun beliau tidak perlu hadir ke pejabat sepanjang tempoh siasatan.

“Pada masa sama, segala kuasa dan fungsi rasmi perlu dilucutkan sementara dan beliau tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan kepada anggota atau sesiapa sahaja bagi menjamin ketelusan dan integriti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini sebuah media antarabangsa mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat.

Susulan itu beberapa pihak mendesak supaya kerajaan menggantung tugas Azam susulan pendedahan itu

Borhan berkata, langkah tersebut membolehkan pegawai dan kakitangan bawahan membantu siasatan dengan bebas tanpa tekanan.

Katanya, sekiranya siasatan menunjukkan prima facie atau unsur-unsur yang boleh menjurus kepada sabitan kesalahan, maka terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan beliau.

Dalam pada itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Azam tidak boleh menyamakan dirinya dengan ahli politik yang sedang disiasat tetapi tidak melepaskan jawatan kerana mereka tidak mempunyai kesan langsung terhadap pengurusan negara.

Beliau berkata, walaupun tiada peruntukan dalam undang-undang untuk Azam berehat tetapi dari segi moral dan kesan terhadap siasatan, beliau perlu secara sendiri mengambil tindakan tersebut sekurang-kurangnya hingga terdapat maklumat lanjut dari jawatankuasa tersebut.

“Memang ramai ahli politik yang sepatutnya berehat, apatah lagi bila dituduh, itu memang betul tetapi perbezaannya mereka adalah ahli politik. Mereka tidak mempunyai kesan secara langsung kepada pengurusan urus tadbir negara dari segi pelaksanaan.

“Azam duduk sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, hari-hari beliau urus isu-isu siasatan berkaitan dengan rasuah dan sebagainya. Bagaimana orang nak yakin dengan kerjanya berkaitan pelaksanaan sedangkan diri sendiri menghadapi siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN